Dijadualkan mula beroperasi pada Jun ini, perkhidmatan Bas Rapid Transit – Laluan Sunway (BRT) bakal mencatat sejarah sebagai perkhidmatan bas elektrik penuh negara yang pertama.

Projek kerjasama antara Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Kumpulan Sunway di bawah program Kerjasama Awam Swasta (PPP), BRT-Laluan Sunway juga bakal mencatat sejarah sebagai projek BRT yang pertama di Malaysia dan laluan BRT bertingkat pertama di rantau Asia Tenggara.

Projek ini dikatakan dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius di Bandar Sunway dan Subang Jaya.

“Dari segi manfaat, kita tidak hanya bercakap tentang 500,000 penduduk di Bandar Sunway dan Subang. Projek ini juga akan memberi manfaat kepada jutaan orang yang berkunjung ke Bandar Sunway, Sunway Lagoon, Sunway Pyramid, penuntut kolej, orang tempatan yang bekerja di sekitar kawasan ini, golongan perniagaan dan mereka yang mendapatkan rawatan perubatan di Sunway Medical Centre.

“Dengan integrasi dan ketersambungan dengan perkhidmatan KTM Komuter dan LRT kami pada masa depan, impak daripada projek adalah amat besar dalam aspek mobiliti dan ketersambungan rakyat, yang menjadi intipati bisnes Prasarana.

“Kami juga berharap bahawa dengan projek ini akan membuka lebih banyak lagi pintu peluang untuk projek PPP. Kami di Prasarana sentiasa bersikap terbuka kepada apa jua cadangan demi kepentingan rakyat,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Encik Azmi Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak pada 9 Jun 2012, projek BRT menggabungkan ciri-ciri keselesaan sistem LRT dengan penggunaan laluan khusus, bas mesra alam dam infrstruktur mesra pelanggan.

Jumlah penumpang diramalkan pada 2,400 penumpang pada setiap jam tahun ini dan akan terus meningkat setiap tahun.

Menjelang 2035, jumlah penumpang dijangka mencapai 5,200 penumpang dalam sejam.

“Dengan perniagaan di Bandar Sunway dan Subang Jaya yang dijangka terus berkembang khususnya dengan perancangan mantap Kumpulan Sunway, projek BRT-Laluan Sunway akan terus meningkat terutamanya usaha-usaha agresif Prasarana yang berterusan bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan rakyat Malaysia,” tambah Azmi.

Bertingkat sepenuhnya dengan jarak 5.4km dengan tujuh stesen termasuk satu fasiliti ‘Parkir dan Gerak’ dan satu depot serba lengkap, BRT-Laluan Sunway akan menggunakan 15 bas mesra alam.

Dengan kelajuan maksima 80km/jam, bas-bas ini dilengkapi sepenuhnya dengan fasiliti untuk golongan OKU dengan kapasiti 67 penumpang di mana 25 duduk.

Tujuh stesen itu ialah Stesen Sunway – Setia Jaya, Mentari, Lagoon, SunMed, SunU-Monash, South Quay dan stesen USJ7.

Stesen SunU-Monash menempatkan fasilti ‘parkir dan gerak’; menyediakan 1,153 petak letak kereta termasuk 102 petak khas untuk pemandu wanita dan 23 untuk golongan OKU.