Kerajaan Negeri Perak memohon supaya kerajaan persekutuan mempertimbangkan membuka semula beberapa industri penting bagi menggerakkan negeri, susulan lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara sektor yang telah dibuka semula di Perak baru-baru ini termasuk pengkuarian dan kayu, yang mana operasinya tidak melibatkan bilangan pekerja yang ramai.

Menurutnya, tindakan itu penting bagi menggerakkan semula ekonomi negeri yang terjejas susulan PKP yang dilanjutkan selama dua minggu lagi, mulai 29 April ini.

"Saya harap juga kerajaan persekutuan akan meneliti bagaimana untuk membuka semula ekonomi.

"Keadaan kita di negeri ini banyak juga terasa, apabila ekonomi tidak dibuka, jadi, tentunya ada industri-industri yang boleh dimulakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Sahur Frontliners' di sekatan jalan raya Plaza Tol Ipoh Utara awal pagi ini.

Ahmad Faizal berkata, keputusan untuk membuka semula industri kayu dan kuari adalah bersesuaian dengan situasi semasa serta penting kerana ia memberi hasil yang banyak kepada negeri.

"Kerajaan persekutuan telah memberi kebenaran kepada pihak kerajaan negeri untuk menentukan sama ada industri tersebut boleh dibuka atau tidak.

Ahmad Faizal menyantuni petugas barisan hadapan yang terlibat dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Ipoh Utara. Foto FB Exco Perak

"Di negeri Perak, kami telah buat keputusan, industri tersebut boleh dibuka.

"Industri kayu sekiranya tidak beroperasi akan menyebabkan kayu reput. Malah industri ini mempunyai tempahan, sekali gus menyumbang jumlah yang besar (kepada pendapatan kerajaan negeri)," katanya.

Mengenai sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di negeri ini, Ahmad Faizal berkata kira-kira 7,000 pek makanan disediakan setiap hari sepanjang Ramadan untuk sahur dan berbuka puasa melalui pejabat daerah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Program Sahur Frontliners dijalankan serentak di 12 daerah di Perak, memberi manfaat kepada hampir 3,000 petugas barisan hadapan sepanjang Ramadan.

Terdahulu, beliau menyantuni petugas barisan hadapan yang terlibat dalam sekatan jalan raya di plaza tol berkenaan di samping menyampaikan sumbangan makanan untuk sahur.