Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diminta membuktikan sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti dinyatakan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada pagi Isnin.

Menurut kenyataan bersama Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, KEADILAN dan DAP mengambil maklum kenyataan Abdul Khalid selepas mengadap Sultan Selangor bahawa dia akan kekal menjadi MB kerana mempunyai sokongan majoriti dari kalangan ADUN Selangor.

"KEADILAN dan DAP telah menyatakan secara terbuka bahawa Abdul Khalid tidak lagi mendapat sokongan kedua-dua parti ini sebagai MB Selangor. Ini bermakna Abdul Khalid sudah hilang kepercayaan 28 ADUN iaitu separuh dari jumlah ADUN di Selangor.

"PAS pula belum membuat keputusan mengenai sokongan mereka kepada Abdul Khalid sebagai MB Jawatankuasa PAS Pusat hanya akan bermesyuarat pada 17 Ogos 2014 ini," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, kenyataan Abdul Khalid kepada pihak Istana, dia mempunyai sokongan majoriti DUN meragukan.

Jelas kenyataan itu lagi, dengan penolakan terbuka KEADILAN dan DAP, itu juga bermakna Abdul Khalid hanya boleh mempunyai sokongan majoriti dengan mendapat sokongan dari 12 ADUN UMNO.

"Abdul Khalid perlu memanggil sidang DUN untuk melakukan undi kepercayaan atau cara-cara lain yang boleh membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan dari ADUN PAS dan UMNO.

"UMNO turut menyatakan secara terbuka bahawa 12 ADUN UMNO menyokong Abdul Khalid seperti mana yang didakwa. Jika 12 ADUN UMNO tidak menyokong Abdul Khalid Ibrahim, maka jelaslah dia telah mempersembahkan maklumat palsu kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor," ujar kenyataan itu.

Dalam pada itu kata kenyataan itu, KEADILAN dan DAP akan terus menggunakan segala kaedah mengikut Undang-undang Tubuh Negeri dan enakmen yang berkenaan untuk mengembalikan tampuk pemerintahan Kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang lepas.

Jelas kenyataan itu, langkah seterusnya mengikut Undang-undang Tubuh Negeri akan dimaklumkan selepas pimpinan Pakatan Rakyat terus bermesyuarat mencari muafakat menyelesaikan perkara ini dengan baik.