PKR hari ini mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan status sebenar kewarganegaraan sebenar Paul Phua Wei Seng yang sedang menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, ini kerana minggu lalu sebuah portal berita Vijesti menyatakan bahawa Paul Phua kini adalah seorang warga Montenegro.

“Jika laporan berita ini benar, status kewarganegaraan Paul Phua boleh dipersoal.

“Ini membawa implikasi yang cukup serius dan membangkitkan beberapa persoalan,” katanya Fahmi yang juga Naib Ketua AMK dalam sidang media di ibu pejabat PKR pada Rabu.

Laporan tersebut, katanya, menyatakan bahawa Paul Phua telah mendapat kewarganegaraan Montenegro di antara Oktober 2013 dan Oktober 2014, iaitu sebelum surat bertarikh 18 Disember 2014 ditulis Datuk Seri Zahid Hamidi kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Selain itu, Fahmi turut mempersoalkan sama ada Zahid mengetahui status kewarganegaraan ‘Raja Judi’ itu sewaktu menulis surat kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Paul Phua dan anaknya, Darren Wai Kit Phua kini dalam tahanan rumah di Amerika Syarikat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah daerah Nevada atas kesalahan penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014 lalu.

Paul Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.

Beliau menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo 100k Super High Roller 2014 dan dia juga disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap 14K Triad, sebuah kumpulan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Berikutan penahanan Paul Phua, firma guamannya, Chesnoff & Schonfeld telah memohon Ahmad Zahid agar mengeluarkan surat kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F.Giuliano untuk mengesahkan yang lelaki itu bukan seorang anggota 14K Triad dan kumpulan kongsi gelap itu juga tidak wujud di Malaysia.

Ahmad Zahid juga memaklumkan bahawa pengeluaran surat kepada FBI itu bukanlah atas permintaan kerajaan Amerika Syarikat tetapi oleh peguam yang mengendalikan kes tersebut dan atas alasan itu surat daripadanya dikendalikan oleh syarikat guaman Shafee & Co.