Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa semua pihak termasuk pemain industri agar meneroka teknologi pengurusan sisa pepejal.

Jelasnya, meskipun kemajuan teknologi begitu pesat namun masalah sisa pepejal menjadi isu yang semakin membimbangkan.

“Ke mana kita nak buang sisa pepejal ini? Kita perlu beri perhatian berkenaan teknologi pengurusan sisa pepejal, sekali gus kita boleh kitar semula sisa pepejal terbabit.

"Contoh seperti sisa makanan, jika kita kitar semula boleh beri manfaat kepada manusia. Sekarang sisa pepejal teknologi seperti peti sejuk dan telefon bimbit menjadi masalah apabila peralatan ini tidak boleh hilang begitu sahaja.

"Jadi kita perlu beri perhatian berkenaan teknologi ini," ujar beliau.

Tambah Perdana Menteri, jika tidak diurus dengan baik, sisa pepejal akan membahayakan ekosistem dunia.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Dialog bersama Pemain Industri Teknologi Tinggi anjuran Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) di Cyberjaya.