Rundingan rasmi untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Korea Utara masih belum dimulakan secara rasmi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sehingga kini, semua rakyat Malaysia di sana berada dalam keadaan selamat.

"Apabila tiba masanya, kita akan memulakan rundingan rasmi," kata Najib ketika ditanya di Lobi Parlimen tentang status rundingan Malaysia dan Korea Utara.

Apabila ditanya untuk butiran mengenai proses rundingan yang sudah berjalan, Najib enggan mengulas lanjut.

"Ini sahaja yang boleh saya kongsi buat masa sekarang. Saya akan maklumkan sekiranya ada perkembangan baharu," kata beliau.

Ketika ini, sembilan rakyat Malaysia masih berada di Kedutaan Korea Utara dan dilarang keluar dari negara itu.

Perdana Menteri sebelum ini berkata, Malaysia tidak akan menggunakan jalan perbalahan dengan Korea Utara bagi menyelesaikan konflik berkenaan.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan pembunuhan Kim Chol, yang telah disahkan polis sebagai Kim Jong-nam, iaitu abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Feb lalu.