Tutup

Polis tumpaskan sindiket seludup migran Sri Lanka ke Eropah, 11 ditahan

Polis tumpaskan sindiket seludup migran Sri Lanka ke Eropah, 11 ditahan
Hasil tangkapan mendedahkan, sindiket itu turut melindungi dan menyembunyikan migran Sri Lanka di sekitar Kuala Lumpur bagi tujuan penyeludupan ke negara ketiga.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan satu rangkaian sindiket penyeludupan migran ke negara Eropah apabila menahan 11 individu dalam operasi di tiga lokasi di negara ini, melibatkan rakyat tempatan dan warga Sri Lanka.

Dalam operasi yang dilancarkan 27 Mei itu, polis menangkap lapan warga Sri Lanka dan tiga warga tempatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar, Perlis, sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur.  
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata sindiket yang mempunyai rangkaian hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, Malaysia dan Eropah itu telah beroperasi sejak pertengahan tahun lepas. 

Tangkapan dibuat ketika ahli sindiket sedang menguruskan penyeludupan seorang kanak-kanak lelaki Sri Lanka menggunakan dokumen perjalanan Malaysia melalui sempadan Padang Besar, Perlis ke Thailand dan seterusnya ke Eropah.
“Rakyat Malaysia yang ditahan itu terdiri daripada seorang fasilitator dan dua eskot dan mereka dipercayai terlibat dalam menguruskan penyeludupan keluar warganegara Sri Lanka menggunakan dokumen perjalanan Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thailand,” kata Abdul Hamid dalam satu kenyataan hari ini. 



Hasil tangkapan mendedahkan, sindiket itu turut melindungi dan menyembunyikan migran Sri Lanka di sekitar Kuala Lumpur bagi tujuan penyeludupan ke negara ketiga.

Ketiga-tiga warga Malaysia itu ditahan dan disiasat di Bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala warga Sri lanka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Usaha mengesan dan membanteras rangkaian sindiket penyeludupan migran akan terus dipertingkatkan oleh polis dalam memastikan aktiviti penyeludupan migran dapat dihapuskan,” tambah Abdul Hamid.