Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini menjelaskan Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) tidak dibatalkan dan hanya ditangguhkan untuk mengurangkan bebanan hutang kerajaan.

Menurut beliau, kabinet akan menentukan bila proses menyambung semula pembinaan MRT3 akan dibuat namun menegaskan projek utama seperti MRT3 akan diberi keutamaan sekiranya kedudukan kewangan negara pulih.

"Sebarang keputusan besar sebegini, perlu mendapatkan keputusan Kabinet.

"Tetapi sekarang priority (keutamaan) kerajaan ialah mengurangkan kadar hutang negara terlebih dahulu, tetapi untuk projek penting seperti MRT3, apabila kedudukan kewangan negara pulih, sudah tentunya ia akan diberi keutamaan untuk dikaji semula," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang meminta kementerian menyatakan rasional dan implikasi daripada pembatalan projek pengangkutan awam seperti MRT3.

Menurut Loke, kerajaan tidak menafikan bahawa projek MRT3 akan membawa pelbagai manfaat, tetapi pelaksanaannya harus dikaji semula demi mendapatkan hasil yang optimum dari segi faedah kos projek berkenaan memandangkan tahap hutang negara yang sedia ada adalah terlalu tinggi.

Jelasnya, berdasarkan Laporan Kebolehlaksanaan yang disediakan oleh MRT Corp pada awal tahun 2017, jajaran projek MRT3 adalah sepanjang 40 km dan merupakan 'circle line' yang melalui kawasan-kawasan seperti Jalan Duta, Setiawangsa, Pandan Indah, Salak Selatan, Bandar Malaysia dan Kerinchi.

"Oleh kerana jajaran MRT3 melalui kawasan pusat bandar yang tepu bina dan berkepadatan tinggi, maka hampir 80 peratus daripada jajaran MRT3 adalah terowong bawah tanah. Ini menyumbang kepada kos pembinaan yang sangat mahal iaitu dijangka mencecah RM50 billion.

Katanya, bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam sekali gus membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, kerajaan akan memberi keutamaan kepada perkhidmatan pelbagai jenis bas yang akan dipertingkatkan dari segi kualiti perkhidmatan dan rangkuman serta menambah baik sistem KTM Komuter di Lembah Klang menerusi kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih struktur landasan kereta api.

"Penangguhan projek MRT3 memberi peluang kepada kita untuk mengkaji semula keutamaan bajet, di mana kerajaan akan memberi fokus baharu kepada penambahbaikan perkhidmatan bas serta pembangunan infrastruktur bukan sahaja di sekitar Lembah Klang namun di seluruh Malaysia selaras dengan manifesto kerajaan untuk menambah baik kualiti serta liputan perkhidmatan pengangkutan awam," katanya.

-- BERNAMA