Semua pusat penjagaan kebajikan perlu memperbaharui pendaftaran pusat jagaan mengikut status semasa penghuninya, sama ada dihuni golongan dewasa atau kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata perubahan pada penghuni pusat jagaan itu perlu dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Rohani memberikan contoh Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Perak (RKKC) di Batu Gajah yang pada mulanya didaftarkan untuk penjagaan kanak-kanak tetapi sekarang penghuni di situ telah meningkat usia menjadi dewasa.

"RKKC kini hanya dihuni lima kanak-kanak, sedangkan 42 lagi penghuni dewasa. Pihak pengurusan sepatutnya merujuk kembali kepada JKM untuk menentukan status dan menukar pendaftaran pusat jagaan berdasarkan perubahan penghuni," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini pada Rabu.

Menurutnya kementerian itu bersedia membantu RKKC untuk mendaftar semula pusat jagaan itu.

Rohani berkata Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling kementerian itu akan terus meningkatkan pemantauan dan melakukan pemeriksaan terhadap pusat jagaan kebajikan seluruh negara.

Sebelum ini gambar bertajuk 'Malaysian Girl Discovers Shocking Scene of Disabled Kids Locked Up In Cages Like Dogs' di rumah kebajikan itu menjadi viral.

Gambar itu menunjukkan kanak-kanak tersebut diletak dalam tempat berpagar yang didakwa berbau air kencing dan bahan peluntur.

Bagaimanapun, Pengerusi RKKC R.Sivalingam menjelaskan pihaknya meletakkan 10 OKU yang mempunyai masalah mental kronik di dalam kompartmen berkenaan hanya pada waktu malam dan semasa mandi bagi tujuan keselamatan.

Rohani pada Selasa berkata tindakan meletakkan orang kurang upaya (OKU) di dalam kompartmen berpagar bukan prosedur operasi standard (SOP) kementerian itu. - BERNAMA