Sebuah lagi pusat pemindahan banjir dibuka di negeri ini di Bagan Serai selepas air hujan tidak mengalir keluar ke sungai melibatkan tiga kampung, sekitar jam 4.30 petang semalam.

Sekretariat Pegurusan Bencana Negeri Perak dalam satu laporan mengatakan pusat pemindahan banjir dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Aman, Bagan Serai selepas air setinggi 0.5 hingga satu meter memasuki kediaman mangsa.

Menurutnya seramai 29 mangsa daripada sembilan keluarga melibatkan Kampung Parit Mat Keling, Parit Ali Kalang dan Parit Air Hitam 3 dipindahkan selepas menerima panggilan daripada Penghulu Mukim Bagan Serai.

"Kejadian disebabkan oleh paras air Sungai Kurau yang tinggi kerana itu air hujan yang turun semalam bertakung dan tidak dapat mengalir keluar hingga menyebabkan banjir di tiga kampung ini.

"Sehingga jam 8 pagi ini paras air di kediaman mangsa banjir masih belum menunjukkan penurunan dan mereka semua belum dibenarkan pulang," katanya.

Sementara itu, pusat pemindahan banjir di SK Changkat Jong, Teluk Intan masih lagi dibuka dan menempatkan seramai 44 mangsa daripada lapan keluarga.