Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengajak seluruh rakyat untuk bersyukur dan membalas budi dengan terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana hanya kerajaan Persekutuan melalui BN yang mampu membela nasib rakyat dan memberikan limpahan pembangunan selama ini.

"Tidak lama lagi raya besar nak tiba dan ketika itulah tibanya musim buah. Apabila tibanya musim buah ini ketika itu jugalah datangnya kelawar dan keluang (pembangkang) yang cuba ambil buah yang ditanam oleh orang lain.

"Bila sampai hari besar nanti, saya minta orang Kulim tolak mereka (pembangkang) dan beri sokongan kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengikut musim," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Hidup Tanpa Dadah Kulim-Bandar Baharu di Masjid Saidina Abu Bakar di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Ahmad Zahid berkata rakyat perlu menyedari pembangkang hanya datang bermusim dan tidak seperti kerajaan yang sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat pada setiap masa.

"Mereka ini patut ditolak kerana datangnya mereka ini bermusim..ada juga yang datang lima tahun sekali untuk mencuba nasib," katanya.

Beliau berkata dalam Islam juga menyeru kerpada perpaduan agar rakyat bersatu padu dan menolak fahaman politik sempit.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN itu berkata setiap peruntukan yang disalurkan kepada rakyat selama ini adalah merupakan amanah dan bukannya dedak seperti dakwaan pembangkang.

"Bila diberi amanah kita kena serah kepada orang bawah dan orang bawah itu boleh salurkan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan RM246.23 juta untuk tujuh projek pembangunan di Kulim dan Bandar Baharu.

Antaranya, RM5.3 juta diperuntukkan untuk pembinaan Kompleks Sukan Komuniti Bandar Baharu, RM7.78 juta untuk menggantikan jambatan sedia ada di Kulim, RM20 juta untuk pembinaan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Dewan Bedah Hospital Kulim, Tapak Pelupusan Sanitari di Padang Cina, Kulim berjumlah RM43.5 juta dan projek Pusat Transformasi dan Reakreasi Komuniti, Serdang berjumlah RM11.03 juta.

Beliau juga turut mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada pengurusan Masjid Saidina Abu Bakar untuk pelaksanaan pelbagai projek dan program.

-- BERNAMA