Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semula tragedi berdarah Memali, 32 tahun lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga bersedia untuk disiasat berhubung kes berkenaan sekali gus memberi beliau peluang untuk mendedahkan perkara sebenar mengenai tragedi yang mengorbankan 18 nyawa termasuk anggota polis itu.

"Saya alu-alukan dengan adanya RCI Memali ini kerana kita boleh dedahkan apa yang berlaku. Malah, saya akan memberi kerjasama penuh dan tidak takut untuk disiasat," katanya di sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Pakatan Harapan Kelantan di sini hari ini.

Sementara itu, Tun Mahathir juga mengaitkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai punca berlakunya tragedi Memali ekoran amanatnya pada tahun 1981 yang mempengaruhi penyokongnya untuk bertindak liar.

“Disebabkan pemimpin berkenaan menjanjikan syurga kepada pengikutnya, penduduk kampung melakukan jenayah dengan membunuh polis.

“Saya yakin polis tidak akan kejam sekiranya tidak ada ancaman daripada penduduk kampung,” katanya.

Tragedi Memali yang berlaku pada 19 Nov 1985 itu menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya di Kampung Memali, Baling, Kedah.