Keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas skandal perdagangan mata wang asing (forex) yang berlaku semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad adalah atas desakan daripada DAP, menurut Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Dalam berita yang disiarkan oleh portal rasmi UMNO www.umno-online.my hari ini, Annuar dipetik sebagai berkata penasihat DAP Lim Kit Siang pernah beberapa kali membangkitkan isu itu dan menggesa satu RCI ditubuhkan untuk menyiasat perkara berkenaan.

Annuar berkata Lim pernah membangkitkan perkara itu di Parlimen pada 1994, iaitu setahun selepas dilaporkan tersebarnya berita negara kerugian berbilion ringgit dalam pelaburan tersebut, dan sekali lagi di Parlimen pada 2006.

Katanya, Lim juga memberikan fakta-fakta yang lebih terperinci berhubung kerugian yang dialami oleh negara berhubung perkara itu, termasuk memberikan gambaran jumlah kerugian kerajaan yang mencecah RM30 bilion, iaitu separuh daripada keseluruhan rizab negara pada masa itu.

"Jadi RCI berhubung Forex Trading ini sebenarnya dilaksanakan oleh kerajaan atas kehendak dan inisiatif DAP yang mendesak mahu satu siasatan terhadap perkara itu dijalankan dan kerajaan melihat desakan DAP ini sebagai satu perkara yang relevan untuk kepentingan rakyat di negara ini," beliau dipetik sebagai berkata demikain pada sidang akhbar pasca-Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini.

Dalam pada itu, portal tersebut turut melaporkan Annuar membidas pihak pembangkang yang mendakwa kononnya penubuhan RCI itu bertujuan untuk membalas dendam terhadap bekas perdana menteri itu dan beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai bermotifkan politik semata-mata.

-- BERNAMA