Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun maut dalam satu kemalangan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) berhampiran gerai menjual jagung di Kampung Tikat, di sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Nur Wardiah Syahirah Mustafa, 14 tahun, seorang pelajar Sekolah Menengah Penambang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Ismail Mat Sidek, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Jalan PCB menuju ke arah Kota Bharu.

"Setibanya di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dikatakan terlanggar belakang sebuah kereta jenis Perodua Viva yang berhenti di bahu jalan.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh di tengah jalan dan pada masa yang sama sebuah lori yang berada di belakang menggilis mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Motosikal yang ditunggang Nur Wardiah. - Astro AWANI
Mangsa maut ditempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Nur Wardiah (kanan), 14 tahun, merupakan seorang pelajar Sekolah Menengah Penambang. - Astro AWANI
Kata Ismail, polis sedang mengesan pemandu lori berkenaan kerana bertindak tidak memberhentikan lorinya dalam insiden kira-kira jam 4.30 petang itu.

Tambahnya, pemandu kereta Viva tersebut merupakan seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi dan dia tidak mengalami kecederaan selain mempunyai lesen memandu yang sah.

Difahamkan, pelajar yang maut itu memakai topi keledar semasa kejadian namun tidak mempunyai lesen memandu.