Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan seorang lelaki terhadap hukuman ke atasnya selepas disabitkan kesalahan merogol seorang wanita di dalam sebuah kereta empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Seri Mariana Yahya selepas mendengar hujah daripada Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustafa dan peguam Khairul Naim Rafidi.

Mariana berkata, keputusan yang dibuat hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini dikekalkan kerana tiada unsur sukarela dalam hubungan seks berkenaan.

Mariana turut berkata selepas membuat pertimbangan, didapati hakim Mahkamah Sesyen tidak silap dan sabitan adalah betul serta hukuman yang dikenakan adalah wajar maka rayuan ditolak dan sabitan hakim Mahkamah Sesyen Temerloh dikekalkan.

Pada 5 September lalu, Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zin menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan lapan sebatan terhadap Muhamad Khaidzir Lucman, 28, berkuatkuasa pada 5 Disember 2016.

Menurut fakta kes, perayu didapati melakukan rogol ke atas seorang gadis Melayu berusia 19 tahun di dalam kereta jenis Viva di tepi jalan dari Kampung Durian Hijau ke Rumpun Makmur di Jerantut, dekat sini pada pukul 12.30 tengah malam pada 5 Oktober 2014.