Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah mengesahkan wujud unsur jenayah dalam insiden kebakaran empat rumah sederet di Kampung Baru Sungai Gelugor, Sungai Petani, bulan lalu.

Ia berdasarkan penemuan kesan petrol oleh Unit Forensik Bomba di lokasi kebakaran yang mengorbankan enam nyawa.

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda mengesahkan penemuan kesan petrol berkenaan.

“Punca kebakaran memang sengaja dibakar dan wujud 'accelerant' yang kami jumpa di sana.”

“Kami juga mengambil pengakuan saksi yang menyatakan bahawa kebakaran itu disengajakan. Laporan itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian pada 4 pagi, 7 November lalu, lima rentung dalam kebakaran berkenaan yang melibatkan empat rumah yang dihuni 22 mangsa.

Seorang lagi mangsa meninggal dunia ketika menjalani rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan penuh jabatan forensik serta laporan siasatan bomba sebelum siasatan lanjut diteruskan.