Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya optimis membawa Malaysia akan menjadi sebuah negara yang alah rasuah.

Beliau yang memulakan tugas secara rasmi hari ini turut memberitahu, akan melihat kepada tindakan jangka panjang, termasuk pendidikan bagi mewujudkan satu budaya yang tidak bertoleransi kepada rasuah.

“Adalah hak asas setiap rakyat Malaysia untuk dibenarkan hidup, bekerja dan makmur dalam satu persekitaran yang bebas rasuah.

“Dengan sokongan dan dokongan rakyat dan pegawai-pegawai saya di SPRM, kami akan dapat mengubah Malaysia kepada satu masyarakat yang alah kepada rasuah dan bebas dari rasuah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.






Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Kooya optimis membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang alah rasuah sepanjang perkhidmatannya.


Tambah Latheefa, tugasnya amat jelas iaitu untuk membanteras rasuah di mana-mana sahaja.

Sementara itu, mengambil pendekatan untuk membiarkan pendapat yang berlegar ekoran pelantikannya yang dibuat sehari sebelum umat Islam merayakan Aidilfitri.

“Sudah banyak pendapat yang dikeluarkan semenjak pelantikan saya diumumkan sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Sesiapapun berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing, ini tidak mengapa,” jelasnya.

Beliau hanya berharap mampu melaksanakan tanggungjawab yang dipikul dengan pertolongan Allah SWT.