Kakak kepada salah seorang rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara bimbang dengan keselamatan adiknya, S Nirmala Malar Kodi, 45, namun percaya kerajaan akan membuat yang terbaik untuk rakyatnya di sana.

Bagaimanapun, S Komala Theinmoli, 48, berkata, dia masih tidak dapat mengelak daripada berasa takut memikirkan keadaan di sana memandangkan Korea Utara sememangnya terkenal dengan pelbagai cerita negatif.

Menurut beliau, cerita negatif yang didengarinya juga membuatkan hatinya semakin bimbang namun dia sedikit lega kerana adiknya bekerja di dalam bangunan kerajaan Malaysia.

Tambahnya, Nirmala juga ada menghubungi keluarga mereka pada malam kelmarin memaklumkan semuanya dalam keadaan terkawal dan mereka tidak perlu risau dengan keadaannya.

"Saya rasa takut bila bercakap soal keselamatan adik saya. Bila ada media datang seperti ini, saya rasa sangat takut sebab rasa macam ada masalah besar di sana.

"Malah, saya juga ada terfikir adakah Kerajaan Korea Utara akan bertindak sampai mungkin mengambil nyawa mereka namun suami dan ahli keluarga lain kata tidak mungkin perkara itu terjadi.

"Memang mereka tidak dibenarkan pulang tetapi takkanlah kerajaan Malaysia tidak jaga mereka. Saya pasti kerajaan akan menjaga mereka dengan sebaiknya," katanya yang ditemui di rumahnya, di sini pada petang Rabu.

Tambah Komala Theinmoli, adiknya yang mesra dengan panggilan Nirmala itu kali terakhir pulang ke Malaysia pada April lepas ketika dia bercuti sebulan.

Ujarnya yang tinggal di Highland Park, di sini, Nirmala ada memberitahu dia tidak boleh balik pada tahun ini kerana cuti tiada namun boleh pulang sekiranya ada maslaah di sana.

Meskipun merasakan adiknya selamat di sana namun perasaan seorang kakak tetap mahukan Nirmala pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat tanpa sebarang perkara buruk terjadi.

"Saya harap janganlah sampai ada perkara buruk berlaku. Harap dia dan semua rakyat Malaysia di sana pulang dengan selamat.

"Memang saya sangat rindukan dia. Kali terakhir saya berbual dengan dia pada bulan lepas. Lama kami berbual, cerita tentang keluarga, cerita pasal masakan.

"Semoga dia cepat balik dan semoga kes ini dapat diselesaikan dengan baik dan cepat. Perkara yang buat saya kurang takut kerana dia kerja dalam bangunan kerajaan. Jadi saya rasa dia selamat di sana," ujarnya.

Menceritakan sikap anak ketiga daripada lima beradik itu, Komala Thenimoni berkata Nirmala tidak lokek membelanja keluarga mereka apabila pulang ke Malaysia.

"Dia sudah bekerja di sana sejak tiga tahun lepas. Bila balik sini, memang dia akan belanja keluarga kami pelbagai barang. Dia memang sayang sangat dengan anak-anak saya.

"Saya ada juga nasihatkan dia supaya kumpul duit kerana dia belum berkahwin. Nanti bila berhenti kerja, ada juga wang untuk belanja. Namun, dia kata tidak mengapa, dia memang berniat mahu belanja kami.

"Nirmala memang seorang yang periang. Kalau dia tidak kenal seseorang, memang dia kurang bercakap tetapi bila dia kenal, memang seronok berbual dengannya," katanya.