Kementerian Pendidikan sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk membangunkan semula 80 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara.

Timbalan Menterinya Datuk P. Kamalanathan berkata bagaimanapun pembangunan sekolah-sekolah itu bergantung kepada peruntukan yang akan diterima.

"Kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengenal pasti tapak yang sesuai.

"Sepertimana di SJKT Ladang Shanghai, Seremban ini, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan kerana melangkah ke depan membolehkan sekolah ini memperoleh tapak bagi membangunkan semula sekolah berkenaan," katanya dalam sidang media pada Majlis Perasmian Bangunan Baru SJKT Ladang Shanghai pada Isnin.

Turut hadir Mohamad dan Presiden MIC yang juga Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan memperuntukkan RM4.9 juta untuk pembinaan bangunan baru tiga tingkat sekolah ini di atas tanah berkeluasan 1.214 hektar.

Sementara itu, Subramaniam mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membawa transformasi terhadap masyarakat India.

"Transformasi sekolah Tamil di negara ini merupakan contoh yang paling ketara dengan peruntukan sejumlah RM890 juta," katanya.

-- BERNAMA