PUTRAJAYA:Belanjawan 2021 akan memberi fokus kepada tiga tonggak utama iaitu memperkasakan rakyat, menyokong perniagaan serta memperkukuh ekonomi rakyat dan negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Belanjawan 2021 ini juga akan memastikan usaha dalam menyelamatkan nyawa diberi tumpuan terutama ketika negara berdepan dengan penularan pandemik COVID-19.

“Belanjawan atau bajet memang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia... saya sedang tunggu pembentangan awal dalam sehari dua ini sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

“Di samping kita mahu pastikan kesihatan awam dan sokongan buat barisan hadapan... ini yang telah kita lakukan selama ini dapat kita teruskan,” katanya dalam sidang media menerusi video, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, dalam tempoh menghadapi krisis COVID-19 ini ramai rakyat yang terjejas justeru tumpuan lebih akan diberikan terhadap isu berkenaan.

Katanya, walaupun ada pakej rangsangan RM300 bilion yang telah disediakan, belanjawan kali ini akan menyediakan satu lagi bentuk bantuan dan sokongan.

“Kita dah ambil langkah untuk pemulihan, kita dah benarkan hampir semua sektor berjalan dan kita mahu lihat sektor tertentu seperti peruncitan, pelancongan tempatan, pembuatan dan lain-lain meningkat.

"Ketika ini perlukan sokongan dan pelbagai lagi insentif yang perlu kita fikirkan dan kita akan kemukakan dalam belanjawan," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata usaha dilakukan untuk membolehkan kehidupan yang lestari supaya kelompok B40 tidak terus berada di paras yang lebih bawah di samping tidak terjerumus ke bawah paras kemiskinan.

Katanya, pada masa sama Belanjawan 2021 diharap dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi yang telah tercapai melalui pakej Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan yang terakhir sekali ialah Kita Prihatin.

"Melalui bajet 2021 inilah untuk menjadikan rakyat kita dan perniagaan dalam negara kita lebih berdaya tahan untuk hadapi keadaan yang masih tidak menentu... dari segi COVID-19 dan juga demi kemajuan masa depan negara kita,” ujarnya.

Belanjawan 2021 akan dibentangkan pada 6 November oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen.