Pihak berkenaan perlu segera menyelesaikan isu lantikan Peguam Negara sebelum krisis menjadi lebih serius antara Putrajaya dan istana.

Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, ia juga harapan rakyat untuk melihat perkara itu tidak berlanjutan lagi.

"Sebagai warganegara, kita harapkan perkara ini tidak berlanjutan dan tidak akan membuka ruang kepada satu lagi krisis Perlembagaan atau ketegangan institusi beraja dan Putrajaya.

"Kita harap apa juga keputusan yang diambil Majlis Raja-Raja harus diterima dan dimanfaatkan bagi kepentingan istana sendiri dan kepentingan serta kestabilan negara.

"Saya percaya melalui pengalaman yang telah dilalui istana dan Putrajaya berkaitan beberapa krisis melibatkan Perlembagaan ini, saya fikir kita cukup pelajaran dan pengalaman," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Isu Peguam Negara: Raja-Raja Melayu dijangka bersidang pada Selasa

BACA:
Tiada peruntukan Peguam Negara perlu Melayu - Hanipa

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha menyelesaikan isu lantikan Peguam Negara yang baharu.

Jelas Shamrahayu, rakyat kini berharap supaya semua peruntukan Perlembagaan dihormati dan sebarang keputusan akan menyelesaikan dan mengelakkan dari berlaku krisis Perlembagaan lebih serius antara Putrajaya dan istana.

Sebelum ini, dalam satu kenyataan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, Raja-Raja Melayu dijangka mengadakan perbincangan khas berkenaan jawatan Peguam Negara pada Selasa.

Katanya, warkah persilaan untuk perbincangan khas di Istana Negara itu telah dikeluarkan pada 1 Jun kepada Raja-Raja Melayu.