Seleweng dana: ADUN Sungai Rambai ditahan SPRM, dihadap ke mahkamah esok

Seleweng dana: ADUN Sungai Rambai ditahan SPRM, dihadap ke mahkamah esok
Latheefa mengesahkan penahanan ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Melaka telah menahan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman dan kerani JAPERUN, Khuzaimah Abdullah.

Penahanan mereka disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya menerusi kenyataannya pada Isnin.

Menurut Latheefa, kedua-dua mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin SPRM namun perlu hadir ke mahkamah esok.
"Mereka dikehendaki hadir di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh untuk dituduh pada Selasa.

"Datuk Hasan yang merupakan ADUN Sungai Rambai adalah bekas Exco Kerajaan Negeri pada masa sama bertanggungjawab bagi portfolio Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN).

"Kes adalah berkaitan penyelewengan peruntukan bagi Inisiatif Strategic Linkage di bawah Program Strategik Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) tahun 2016 untuk Negeri Melaka yang disalurkan pada JAPERUN," jelasnya lagi.