Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada hari ini memaklumkan terdapat sembilan kes positif COVID-19 di Sarawak melibatkan enam di daerah Kuching dan tiga di Samarahan.

Menurut Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, keseluruhan kes setakat ini adalah 641 kes.

Berikut lima tumpuan yang dibawakan pada sidang media JPBN yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri Lama, Kuching pada Jumaat.

1. Sembilan kes positif COVID-19 dilaporkan pada Jumaat melibatkan enam di daerah Kuching dan tiga di Samarahan, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini adalah 641 kes.

2. Satu kes melibatkan pelajar perempuan dari Perth, Australia melalui saringan pesawat pelawat dari luar negara. Mangsa dilaporkan terbang ke Kuching pada 20 Julai melalui Kuala Lumpur.

3. Lapan kes dari kes pengesanan kontak kluster masih aktif. Kesemua kes dikesan melalui saringan ke atas semua kontak Kluster Sentosa. Semua yang terlibat merupakan petugas kesihatan fasiliti terbabit.

4. Semua warga Sarawak yang pulang dari luar negara dan transit di Semenanjung Malaysia, Labuan, Sabah, Brunei atau Singapura diwajibkan menjalani kuarantin di destinasi terakhir selama 14 hari.

5. JPBN Sarawak telah berbincang dengan pihak UNIMAS dan memutuskan bahawa kemasukan pelajar Program Pra-Universiti akan ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.