Polis menahan sembilan individu berhubung kes kecurian mesin bitcoin bernilai lebih RM1 juta menerusi enam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang dan Sarawak sejak 23 Februari lepas sehingga Isnin.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata semua lelaki berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan hasil risikan kegiatan jual beli peralatan mesin bitcoin dalam talian di laman web jual beli dan Facebook.

Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, sebanyak 153 mesin bitcoin, termasuk mesin jana kuasa yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dilaporkan hilang di Serdang dari 17 Januari hingga 15 Februari lalu.

"Polis turut merampas sejumlah 58 peralatan mesin berkaitan pelayan bitcoin yang bernilai lebih daripada RM500,000.

"Kesemua tangkapan membabitkan penjual (yang mencuri), orang tengah serta pembeli telah mengaku menjual dan membeli mesin bitcoin curi," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Beliau berkata penangkapan sembilan lelaki berkenaan berjaya menyelesaikan dua daripada lima laporan kes kecurian mesin bitcoin di daerah itu sejak awal tahun ini.

Megat Mohamad Aminuddin berkata polis sedang mengesan beberapa individu lain yang terbabit dengan kes itu termasuk seorang lelaki yang merupakan dalang dalam kegiatan tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 357 Kanun Keseksaan, Sekyen 457 dan Seksyen 411 Akta yang sama kerana mencuri dan memiliki barang curi.

-- BERNAMA