Semporna merupakan salah satu kawasan yang terkesan akibat insiden pencerobohan.

Insiden ini memberi kesan kepada kehidupan dari segi sosio-ekonomi penduduk di kawasan ini, yang rata-rata bergantung kepada sektor perikanan, perladangan dan pelancongan.

Shafizan Johari meninjau pekan Semporna, bagi melihat sendiri perkembangan terkini mengenai situasi keselamatan di situ.

Semporna pernah menyaksikan insiden berdarah apabila beberapa anggota polis diserang hendap penganas di kampung Simunul.

Kampung itu merupakan sebuah perkampungan air dan terletak betul-betul di dalam bandar Semporna.

Faktor utama terdedahnya Semporna kepada insiden pencerobohan penganas ini disebabkan faktor geografi, di mana, selain jaraknya yang dekat dengan Filipina, ia juga sukar dikawal berdasarkan keluasan sempadan perairan ini.

Bagi memastikan kejadian tidak berulang, pihak berkuasa meningkatkan kesiapsiagaan seperti menambah jumlah anggota dan meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh Semporna.

Kehadiran anggota keselamatan yang lebih ramai turut dirasai oleh penduduk setempat.

Bagi Syamsudin Arif, sekiranya dahulu, dia dapat mengenali hampir semua anggota polis di daerah Semporna, namun kini tidak lagi, kerana jumlah anggota yang bertambah ramai.

Namun apa yang penting baginya, beliau kini berasa lebih tenang dan selamat.

Keadaan ini bukan sahaja dirasai beliau, malah ribuan lagi warga Semporna yang sudah pun meneruskan kehidupan seperti biasa, tanpa dibayangi ketakutan akibat ancaman anasir luar.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penubuhan zon keselamatan khas bertujuan memperketatkan kawalan sempadan perairan timur Sabah.