Siasatan kematian Teoh: Peguam Negara keluar kenyataan minggu depan

Siasatan kematian Teoh: Peguam Negara keluar kenyataan minggu depan
Teoh ditemui mati pada 16 Julai, 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung siasatan kes kematian Teoh Beng Hock pada minggu depan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya serahkan siasatan kes ini kepada pihak Peguam Negara dan sebelum ini secara tidak rasmi  beliau (Tommy Thomas) ada menghubungi saya dan akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kes berkenaan.

"Peguam Negara lebih mengetahui perkara ini bagi menjelaskan tindakan pengklasifikasian semula kes kematian Teoh," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Kelestarian Pertubuhan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, di sini hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh bahawa beliau memperkecilkan anggota keluarga Teoh dengan membangkitkan isu pampasan yang diterima mereka, Muhyiddin menafikan dakwaan berkenaan. 
"Beliau (Ramkarpal Singh) salah faham dengan kenyataannya sebelum ini yang mahu menyerahkan kepada peguam negara untuk membuat keputusan berhubung isu ini.

"Mungkin ada salah faham. Ada ke dengar saya katakan dan saya salahkan keluarga. Mungkin dia (Ramkarpal) tidak hadir, bahkan anggota keluarga sudah melalui proses yang panjang yang bermula daripada inkues dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)," kata Muhyiddin.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai, 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang ialah Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan ketika itu.

-- BERNAMA