Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-13 yang bersidang sejak 18 Mei lepas ditangguhkan pada Khamis ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Pada persidangan kali ini, Dewan Rakyat telah meluluskan satu rang undang-undang baharu iaitu Rang Undang-undang Kebajikan Haiwan 2015.

Lapan lagi membabitkan pindaan akta iaitu Rang Undang-undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Institusi Kewangan Pembangunan (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Bekalan Elektrik (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Penerbangan Awam (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Polis (Pindaan) 2015, dan Rang Undang-undang Angkatan Tentera (Pindaan) 2015.

Empat rang undang-undang yang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat kali ini ditangguh dan dibawa ke persidangan akan datang.

Rang undang-undang berkenaan ialah Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015, Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015, Rang Undang-undang Keterangan (Pindaan) 2015, dan Rang Undang-undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2014.

Persidangan Dewan Rakyat turut meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 21 Mei lepas tanpa sebarang pindaan pada 12.54 pagi Selasa lepas.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang mengumumkan penangguhan mesyuarat itu merakamkan ucapan terima kasih kepada anggota Parlimen yang memberi kerjasama bagi memastikan kelancaran perjalanan mesyuarat kali ini.