Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bakal menjadi sistem paling efisien dalam menambah kecekapan urusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bermula tahun 2021

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sekali gus turut mengurangkan risiko sabotaj terutamanya di pintu sempadan negara selepas semua sistem diintegrasikan menerusi SKIN.

"Biarpun pelaksanaannya pada 2021, sistem sedia ada akan dimantapkan.

"Pelaksanaan sistem ini ambil masa hampir empat tahun kerana KDN mahu membuat penelitian dalam memastikan tiada sabotaj berlaku.

"Ia juga penting kerana saya mahu sistem ini 'zero defect' atau kecacatan sifat," katanya dalam sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi SKIN antara Kementerian Dalam Negeri dengan Prestariag SKIN Sdn Bhd pada Selasa.

Sebelum itu dalam ucapannya, beliau memberitahu, pihak JIM dengan kerjasama MAMPU telah menjalankan program kejuruteraan semula proses perniagaan (Business Reengineering Process, BPR) ke atas sistem myIMMs.

Beberapa cadangan pembaharuan telah dikenal pasti merangkumi fungsi-fungsi utama JIM seperti pasport, visa, pas dan permit, penguatkuasaan, kawalan dan keselamatan serta kutipan hasil.

Jelasnya, SKIN dipersetujui untuk dibangunkan berdasarkan BPR sebagai Program Pembaharuan Teknologi menyeluruh bagi memodenkan keseluruhan sistem dan infrastruktur teknologi maklumat dalam JIM.