Siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap skandal pembelian hartanah MARA Inc, anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan tetap diteruskan sehingga ke akar umbinya walaupun berdepan dengan cabaran.

Mengulas tentang perkembangan siasatan skandal ini, pengarah bahagian siasatan SPRM Datuk Mohd Jamidan Abdullah menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menyerah kalah dan akan menjalankan siasatan secara adil.

Mohd Jamidan berkata kepada Astro AWANI setakat ini semua pihak memberi kerjasama dalam siasatan tetapi cabaran muncul dari segi akses kepada maklumat daripada pihak luar negara.

Begitu pun, beliau berpendirian tegas dan meletakkan komitmen tinggi dalam menyelesaikan isu ini.

“Saya tetap melakukan siasatan secara adil, saya tak nak sesuatu siasatan remeh-temeh yang boleh menghalang proses siasatan daripada membuktikan kes ini.

"Oleh itu, kita hendak melihat kes ini secara menyeluruh, dan kita tak nak satu siasatan yang kita kata keterangan sengaja diadakan yang sebenarnya tidak wujud,” beliau berkata sambil menegaskan itu prinsip yang dipegangnya.

Jelasnya lagi pihak SPRM akan menjalankan siasatan menyeluruh secara profesional untuk merungkaikan masalah ini dan bukan untuk menjatuhkan imej mana-mana pihak.

“Saya sebagai pengarah siasatan, saya tetap mengatakan bahawa kredibiliti kita sebagai pegawai penyiasat dijaga dan kita menyiasat secara mendalam setiap transaksi, setiap perancangan atau setiap keputusan yang dibuat oleh mereka yang terlibat dalam usaha untuk menjual atau membeli bangunan MARA tersebut," kata beliau.

Mohd Jamidan juga menyeru kepada orang ramai untuk memberi peluang kepada SPRM menjalankan siasatannya secara adil.

Sebelum ini, MARA dilaporkan bercadang melantik firma audit antarabangsa bagi menjalankan audit ke atas pembelian semua aset dan hartanahnya di luar negara.

Skandal ini mendapat perhatian orang ramai apabila akhbar Australia, The Age melaporkan bahawa seorang pegawai atasan MARA, pegawai kanan dan bekas ahli politik didakwa membelanjakan jutaan ringgit dana kerajaan untuk membeli sebuah blok pangsapuri di Melbourne.

The Age melaporkan ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan Dudley International House iaitu daripada A$17.8 (RM51.5 juta) juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dan mendakwa wang perbezaan itu dijadikan rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli MARA, yang turut menyediakan biasiswa untuk penuntut Malaysia yang melanjutkan pengajian di luar negara.

Pada masa ini, MARA Inc mempunyai aset bernilai RM600 juta di Australia dan United Kingdom.