Sepasang suami isteri pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menukar pengakuan bersalah masing-masing atas empat pertuduhan pilihan menerima suapan berkaitan urusan pembekalan barangan barangan ke TLDM sejak tahun lalu.

Pegawai Kawalan Material 3, Depot Bekalan Armada TLDM Lumut, Leftenan Komander Rozlin Mustafa, 35, mengaku salah atas dua pertuduhan pilihan melibatkan suapan bernilai RM230,011.44.

Hakim S. Indra Nehru menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan terhadap Rozlin bagi setiap pertuduhan itu.

Hakim juga memerintahkan Rozlin menjalani hukuman itu secara serentak bermula hari ini.

Rozlin mengaku salah atas pertuduhan pilihan menerima dua suapan daripada ahli perniagaan, Hussin Roslim @R Roslind melalui suaminya menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebanyak RM30,01.44 dan RM200,000.

Perbuatan itu dilakukan melalui sekeping kad ATM Affin Bank Bhd. sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 juta kepada syarikat di mana Hussin mempunyai kepentingan.

Suaminya pula, Leftenan Leftenan Komander TLDM Rizalman Ghazali, 38, dipenjara selama sembilan bulan dan denda RM20,000 atau penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan setelah mengaku salah atas empat pertuduhan menetima suapan.

Hakim juga memerintahkan RIzalman menjalani hukuman itu secara serentak bermula hari ini.

Rizalman mengaku salah atas empat pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (A)(B) akta tersebut kerana menerima suapan daripada Hussin bagi pihak isterinya yang meluluskan kerja-kerja pembekalan kepada syarikat-syarikat pembekalan di mana Hussin mempunyai kepentingan.

Rizalman didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Rozlin didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Rizalman menerima wang suapan daripada Hussin berjumlah RM175,841.41 dan RM15,000 melalui sekeping kad ATM CIMB Prefered bagi pihak isterinya sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,279,757.95 kepada syarikat di mana Hussin mempunyai kepentingan.

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga mengaku salah di atas dua pertuduhan sama dengan Rozlin iaitu menerima dua suapan daripada Hussin bagi pihak isterinya berjumlah RM30,011.44 dan RM200,000 melalui sekeping kad ATM Affin Bank.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut antara Oktober 2014 dan Januari lalu di no 16, Persiaran Venice Intan 5/1, Desa Seri Manjung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Norazah Kasran manakala pasangan itu diwakili Norhasham Hasan dan Shahril Adli Zain.

Pada Oktober 2015, pasangan itu mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu.