KULIM: Mahkamah Kulim hari ini menjatuhi hukuman denda RM15,000 terhadap sebuah syarikat selepas didapati melakukan kesalahan menjalankan aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam mengakibatkan berlaku pencemaran.

Hakim Mahkamah Sesyen Kulim, Mirza Mohamad menjatuhkan hukuman tersebut selepas pengurus yang mewakili Syarikat berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.



Kesalahan itu dilakukan di premis yang beroperasi di Kulim pada jam 9.30 hingga 11 malam 4 April tahun lalu.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Sesyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(3) akta yang sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, semasa hari kejadian, pasukan penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah telah menjalankan lawatan penguatkuasaan Akta Alam Sekeliling 1974 dan P
peraturan-peraturan di bawahnya di syarikat berkenaan.


Semasa pemeriksaan dijalankan, premis yang sedang beroperasi itu tidak mempunyai Sistem Pengolahan Perindustrian Efluen (SPEP) dan telah melepaskan efluen mentah ke dalam longkang awam di hadapan premis tanpa apa-apa rawatan terlebih dahulu.

Persampelan efluen telah dijalankan oleh pegawai-pegawai Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah dan keputusan sampel analisa kimia efluen tersebut mendapati kandungan parameter Pepejal Terampai, Florida, Warna dan Keperluan Oksigen Kimia(COD) melebihi standad yang ditetapkan di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.


Semasa rayuan, Pengurus Syarikat yang tidak diwakili peguam memohon agar diberikan hukuman ringan dan menurutnya pihaknya sedang memgalami masalah kewangan dan sedang mengambil langkah untuk menangani isu ini untuk membina Sistem Pengolahan Perindustrian Efluen(SPEP) bagi merawat efluen yang dihasilkannya.



Pegawai Pendakwa memohon hukuman setimpal diberikan kepada sebagai pengajaran agar pihak syarikat memastikan efluen yang dihasilkan daripada aktiviti premis dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke mana-mana perairan daratan untuk mengelakkan pencemaran alam sekitar khususnya pencemaran sungai.