Saya masih ingat satu peristiwa apabila saya terpaksa menemani rakan sekuliah semasa menuntut di UiTM ke sebuah hospital awam. Dia terkehel tulang bahunya semasa bermain ragbi.

Kunjungan saya ke hospital awam di Lembah Kelang itu merupakan satu pengalaman yang kalau boleh saya tidak mahu ulangi lagi. Pada hari itu, saya terpaksa menunggu lebih empat jam untuk bertemu doktor.

Usai empat jam berlalu, nombor giliran rakan saya dipanggil dan dia masuk ke kamar doktor. Saya masuk sama. Semasa dalam bilik rawatan tidak ada apa yang dilakukan oleh doktor itu.

Malah kami diminta supaya terus menunggu untuk berjumpa dengan doktor yang seterusnya.

Saya agak keliru ketika itu. "Kita tunggu lebih empat jam untuk apa?" getus hati saya.

Ia ibarat penantian yang diakhiri dengan satu lagi penantian. Bak kata orang, penantian yang tidak berkesudahan.

Enggan untuk terus menanti, akhirnya kami pulang ke kampus. Bahu kawan saya itu tidak juga baik-baik. Agaknya mungkin terkehel sampai sekarang.

Jadi apabila saya kenang kembali mengenai tahap penjagaan kesihatan di Malaysia, saya jadi bingung. Ketika kerajaan sudah banyak berbelanja untuk meningkatkan tahap dan akses kepada perkhidmatan kesihatan, perkara-perkara seperti yang saya ceritakan ini masih terjadi.

Tinjauan awal Astro AWANI ke beberapa hospital di beberapa negeri juga turut menemukan perkara sama.

Apakah mungkin ia disebabkan oleh kekurangan doktor untuk menampung jumlah pesakit?

Manakan tidak, ada beberapa tulisan di media sosial yang menyebut doktor di Malaysia ini dikerah bekerja keras, sehingga ada yang menyebut mereka seperti "hamba abdi".

Statistik terbaru yang diperolehi oleh Astro AWANI mendapati nisbah doktor dan rakyat ialah seorang doktor bagi setiap 791 penduduk. Ini tidak menepati unjuran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu seorang doktor bagi setiap 600 orang.

Sementara itu, 30 peratus daripada lebih 36,000 doktor di Malaysia berkhidmat dengan pihak swasta, yang mana hanya menampung jumlah pesakit yang jauh lebih sedikit.

Tekanan dan beban kerja yang tidak setara dengan gaji itu mungkin menjadi agen penolak untuk mereka berhijrah ke luar negara.

Fenomena ini agak serius sehinggakan ia diluahkan sendiri oleh pemimpin perdana negara, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyebut mengenai tindakan segelintir doktor yang dilatih melalui biasiswa awam meninggalkan negara untuk bekerja di luar negara.

Apa nak jadi dengan sistem kesihatan negara kita?

Sudut Pandang pada Jumaat ini akan membincangkan isu-isu ini dengan perbincangan bersama aktivis pengguna dan seorang pengamal perubatan. Perbincangan ini akan dihoskan oleh Ashwad Ismail dan Datuk Saifuddin Abdullah.

Anda boleh menyertai perbincangan ini dengan mengirimkan pandangan dan idea melalui Facebook Astro AWANI dan Twitter @501Awani dengan menggunakan #501Sudutpandang.

________________

SHAFIZAN JOHARI ialah penerbit Sudut Pandang.
Sudut Pandang disiarkan pada setiap Jumaat pukul 9 malam.