73 tahun. Angka itu usia ideal buat warga emas berehat, meluangkan masa bersama keluarga, bermain dengan cucu, malah ada yang memilih untuk meningkatkan ibadah, menyuci segala lampau yang hitam.

Namun, itu bukan jalan pilihan Khoay Hiang Kim apabila dia memilih untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan datuknya.

Bermula pada usia 17 tahun, Khoay merupakan generasi ketiga Tukang Kasut Anson di tengah bandar menara condong Teluk Intan, Perak.

"Saya mula menjadi tukang kasut pada usia 17 tahun. Pada mulanya, tolong bapa yang juga tukang kasut. Datuk saya juga tukang kasut. Dan dahulu, dia pergi rumah ke rumah untuk membaiki kasut," katanya yang turut membandingkan perniagaan dahulu dan sekarang.

Ujarnya, perniagaannya tidak sebaik 10 tahun lalu apabila terpaksa menanggung kos yang tinggi lantaran kenaikan harga barangan membaiki kasut.

Malah, dia perlu bekerja keras hingga kadang kala mencecah 12 jam sehari dek menampung bayaran sewa kedai RM1,000 sebulan.

"Kalau dahulu lebih senang. Sekarang susah sikit kerana barangan semuanya mahal, malah ramai juga yang menjadi tukang kasut.

"Sekarang kalau mereka yang duduk (menjadi tukang kasut) di kaki lima, mereka tidak perlu membayar sewa, untung sikit pun sudah cukup.

"Saya pula kena bayar sewa. Sewa di sini RM1,000 sebulan. Kalau tak dapat RM2,000 sebulan, boleh mati," luahnya yang menyewa di sebuah kedai yang dianggarkan berkeluasan 11 meter persegi.

Beliau pada masa sama mengakui, tiada pemimpin masyarakat yang datang menemuinya dan bertanyakan nasib yang ditanggungnya, kecuali pada musim pilihan raya.

"Tiada pemimpin yang datang pun. Kalau bukan musim pilihan raya, tak nampak sesiapa pemimpin yang berjalan di depan ini.

"Kalau musim pilihan raya, barulah nampak mereka. Sesiapa (pemimpin politik) pun sama sahaja. Tetapi, perkara melibatkan politik ini susah saya nak cakap," katanya enggan mengulas panjang.

Mengikut Laporan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2016 yang dikeluarkan SME Corp, Perak merekodkan sejumlah 60,028 pengusaha PKS meliputi pelbagai jenis sektor seperti pembuatan, perkhidmatan, pertanian, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian.