KUALA LUMPUR:Tidak perlu memikirkan mengenai isu pengganti Perdana Menteri buat masa ini, tegas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa.

Apa yang lebih penting, ujarnya lagi, ialah memberi tumpuan sepenuhnya dalam usaha membantu kerajaan menangani isu pandemik COVID-19 di negara ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, apabila pandemik itu sudah mula reda, maka sewajarnya Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum untuk rakyat memilih siapa yang layak.

“Tak payahlah fikir pengganti buat masa ni. Kita muafakat bantu kerajaan (dahulu). Bila COVID-19 sudah reda, segera bubarkan Parlimen dan serah kepada rakyat. Amerika Syarikat lagi banyak kes COVID-19 dan mereka pun ada pilihan raya.

“Beri peluang kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk selamatkan negara dan nyawa rakyat dahulu. Saya percaya Perdana Menteri (akan) serah kepada rakyat,” katanya lagi.

Annuar, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata demikian melalui ciapan di Twitternya, dengan merujuk kepada sebuah laporan portal mengenai cadangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk mencalonkan Pengerusi Protemnya Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri seterusnya.

BACA: Penuhi syarat UMNO: Muhyiddin dijangka berdepan dilema - Penganalisis

Sementara itu, dalam sidang media pagi tadi, beliau dilaporkan berkata bahawa Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun bertemu dengan Muhyiddin semalam.

Walaupun tidak mendedahkan butiran pertemuan berkenaan, Annuar berkata, ia sedikit sebanyak berhubung rundingan mengenai syarat baharu kerjasama politik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam konteks Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pada 13 Oktober lepas dilaporkan berkata, Biro Politik UMNO telah membuat pertimbangan untuk menarik kembali sokongan kepada Perikatan Nasional.

Selain itu, Ahli Parlimen Pontian itu dilaporkan berkata, Biro Politik UMNO akan memberi syarat baharu kepada Muhyiddin bagi meneruskan kerjasama politik melalui perjanjian bertulis.

Sementara itu Annuar berkata, mesyuarat Muafakat Nasional di Menara Dato’ Onn malam ini akan membincangkan mengenai kemasukan Bersatu ke dalam gabungan parti itu.

Ujarnya lagi, kedua-dua presiden UMNO dan PAS, iaitu Ahmad Zahid dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan turut hadir ke mesyuarat itu.


BACA: Mesyuarat Muafakat Nasional, apa yang boleh dijangkakan?