Tokoh akademik Profesor Emeritus Tan Sri Awang Had Salleh, 79, disahkan meninggal dunia pada pukul 3.03 pagi ini.

Menurut laporan Berita Harian yang memetik kata-kata anaknya, Datin Norazlina Awang Had, jenazah beliau akan dikebumi di Putrajaya.

Awang Had merupakan tokoh akademik yang terkenal di negara ini.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah pada tahun 1950-an, dan kemudian sebagai tenaga pengajar pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai sebelum menjadi pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dan kemudian sebagai Dekan fakulti tersebut pada 1974.

Pada 1975, beliau dilantik sebagai Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM selama tiga tahun dan kemudian sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1980 dan pada 1984 menjadi Naib Canselor pertama Universiti Utara Malaysia.

Pada Julai 2000, Awang Had dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Selain terkenal dan aktif dalam bidang akademik, Awang Had juga banyak menghasilkan karya kreatif, termasuk buku, risalah dan kertas kerja mengenai bidang pendidikan, bahasa, dan budaya.

Antara karyanya ialah kumpulan cerpen Merah Kuning Biru dan novel Biru Warna serta skrip drama, Buat Menyapu Si Air Mata.