Kerajaan Terengganu sentiasa memantau bagi menyekat penyebaran ajaran sesat termasuk gerakan Millah Abraham, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib .

Beliau berkata walaupun setakat ini tiada sebarang maklumat mengenai gerakan Millah Abraham di negeri ini , namun pihak berkuasa relevan tetap melakukan intipan bagi mengelak ia tersebar dan berleluasa.

"Kita tidak boleh berada dalam keadaan selesa dengan menyangka bahawa kita tidak ada ajaran sesat seperti Millah Abraham. Ini kerana Terengganu juga pernah mempunyai ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin.

"Pihak penguatkuasaan memang berhati-hati setiap masa dan ada buat pemantauan di madrasah-madrasah sama ada milik swasta ataupun kerajaan," katanya dalam sidang media selepas program multaqa murabbi ummah negeri Terengganu 2017 di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Jamil Khir Baharom,

Ghazali berkata antara ajaran sesat yang pernah dikesan di negeri ini seperti ''beratib dengan kuat dan menegah orang daripada membayar zakat sedangkan mempunyai pendapatan yang banyak''.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesyorkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah untuk meletakkan gerakan Millah Abraham sebagai ajaran sesat bagi mengelak penyebaran ajaran tersebut. -- Bernama