Tiada pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan di sempadan negara terutama di jalan-jalan tikus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun begitu, kerajaan tetap akan meningkatkan kawalan untuk memastikan orang luar tidak menceroboh masuk ke negara ini.

"Kerajaan sentiasa mengawasi pintu masuk sempadan terutamanya jalan-jalan tikus yang digunakan oleh
PATI untuk memasuki negara ini.

"Polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) akan bertindak tegas dalam mengawal semua jalan tikus bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang mungkin dibawa oleh PATI," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.