Mesyuarat mingguan Kabinet yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini bukanlah perkara luar biasa kerana setiap menteri mempunyai tanggungjawab masing-masing di peringkat negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini berbeza dengan kehadiran pemimpin peringkat negeri seperti Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berada di Sarawak semata-mata untuk berkempen.

"Kalau pembangkang nak jadikan (ini) isu, saya nak ingatkan pemimpin mereka seperti Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang beliau tiada bidang kuasa di luar Pulau Pinang tetapi beliau berada di sini untuk berkempen semata-mata.


"Setiap anggota menteri mempunyai bidang tanggungjawab kementerian masing-masing di setiap negeri. Menteri akan melihat kerja-kerja kementerian masing-masing, termasuk melihat masalah rakyat, membuat tinjauan, keberkesanaan dasar dan projek yang diluluskan kerajaan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Wisma Bapa Malaysia, Kuching.

Menurutnya, tujuan mesyuarat di sini sebagai tanda sokongan dan kerjasama terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Beliau juga berkata langkah mengadakan mesyuarat mingguan Kabinet di luar Putrajaya dilakukan dari semasa ke semasa.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Adenan dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kali terakhir mesyuarat mingguan Kabinet diadakan di luar Putrajaya ialah di Kuantan pada 2011.