Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn. Bhd., Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman mengakui tidak boleh memindahkan wang dari syarikat itu ke akaun bank Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun sekiranya bekas Perdana Menteri, itu mahu berbuat demikian.

Shamsul membuat pengakuan itu pada prosiding perbicaraan berkaitan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta yang masuk hari ke-19 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Shamsul berkata, beliau bertanggungjawab memberi geran yang diterima Ihsan Perdana daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Yayasan Rakyat 1Malaysia untuk membuat projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Beliau berkata demikian dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh peguam bela Najib, Harvinderjit Singh ketika pemeriksaan balas pagi ini.

Malah, saksi ke-37 itu juga menafikan bahawa kerja-kerja CSR yang dilaksanakan Ihsan Perdana bertujuan politik.

Jelasnya, sekeping surat yang dikeluarkan 1MDB kepada Ihsan Perdana secara jelas menyatakan geran tersebut adalah untuk projek Mesra Rakyat iaitu projek CSR untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar seperti mendapatkan bekalan air bersih, membaiki rumah, pembinaan tandas selain membantu kanak-kanak sekolah miskin untuk mendapatkan buku.

Shamsul turut mengakui mengadakan perbicangan dengan Najib, namun ia hanya bagi mendapatkan input berkenaan kerja-kerja CSR yang boleh dilaksanakan Ihsan Perdana.

Semasa pemeriksaan balas peguam Harvinderjit Singh, beliau turut mengakui tidak pernah membincangkan mengenai wang geran 1MDB dengan Najib pada masa itu.