Tiga daripada empat warga Indonesia yang melarikan diri dari rumah kongsi di Sepang pada Isnin lepas selepas menjalani saringan COVID-19, berjaya ditemui polis pada Khamis.

Bagaimanapun, seorang wanita warga Indonesia yang turut menghilangkan diri bersama mereka, belum dijumpai dan tindakan mengesan masih diteruskan polis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata ketiga-tiga lelaki warga Indonesia itu ditemui di tepi jalan berhampiran belukar di kawasan Semenyih, Kajang, Selangor kira-kira 10 pagi tadi.

Katanya susulan itu, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah dipanggil dan ketiga-tiga mereka dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn untuk ujian saringan COVID-19.

"Setelah diambil ujian, mereka dihantar ke Pusat Kuarantin di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) Bangi untuk tindakan susulan oleh pihak KKM," katanya di sini, hari ini.


- BERNAMA