Telekom Malaysia Bhd (TM) akan meningkatkan kelajuan jalur lebarnya di seluruh negara mulai tahun depan melalui Pelan Penambahbaikan Jalur Lebar untuk 2017 tanpa menaikkan harga pakej.

Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Dato Zamzamzairani Mohd Isa berkata, penambahbaikan itu secara tidak langsung akan mengurangkan kos megabit per saat (MBPS) sehingga 78 peratus.

Katanya, pelan itu pada peringkat awal akan memanfaatkan pelanggan TM di kawasan projek jalur lebar berkelajuan tinggi dan jalur lebar pinggir bandar.

"Bajet 2017 telah membincangkan langkah-langkah khusus bagi mengukuhkan dan memajukan ekonomi digital dengan tujuan untuk meningkatkan kemakmuran negara secara seimbang, adil dan inklusif.

"Tambahan fokus dalam meningkatkan liputan, kualiti dan kemampuan akan mencipta laluan ke arah merealisasikan perjalanan transformasi digital jangka panjang kami dan disokong dengan penumpuan," katanya dalam taklimat media mengenai inisiatif jalur lebar TM untuk 2017 di sini hari ini.

Di bawah inisiatif itu, Zamzamzairani berkata purata kelajuan jalur lebar bagi pelanggan UniFi di kawasan perumahan akan digandakan tetapi kekal pada harga yang sama, peningkatan ini akan dapat dinikmati secara berperingkat mulai tahun depan oleh pelanggan yang layak.

TM juga akan memperkenalkan pakej jalur lebar baharu dengan nilai yang lebih besar untuk pelanggan bukan UniFi mulai depan.

Setakat ini, TM mempunyai seramai lebih daripada 2.37 juta pelanggan jalur lebar, kira-kira 900,000 daripada mereka merupakan pelanggan UniFi.

Lebih daripada 60 peratus daripada pelanggan jalur lebar memilih pakej 4Mbps dan ke atas, manakala lebih kurang 68 peratus daripada pelanggan Unifi menggunakan pakej 10Mbps dan ke atas, ini mencerminkan penggunaan dan corak kelakuan para pelanggan.

Sementara itu, Zamzamzairani berkata kumpulannya sedang dalam perbincangan untuk merendahkan harga pakej tanpa mengurangkan kelajuan internet.

Bagaimanapun, perbincangan itu masih terlalu awal dan hanya akan dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun akan datang, katanya. - Bernama