True Group yang memiliki True Fitness Malaysia, telah tampil memberikan jaminan bahawa gaji serta komisyen tertunggak yang sepatutnya diberikan kepada pekerja-pekerjanya, akan dibayar oleh syarikat itu.

Menurut laporan The Star Online, seorang jurucakap True Group yang berpangkalan di Singapura berkata, akaun-akaun syarikat tersebut telah ‘ditahan’ ekoran pengumuman penutupan operasi pusat-pusat kecergasannya di Malaysia.

Jurucakap itu berkata, masalah tersebut telah pun diselesaikan dan gaji serta komisyen telah dihantar kepada semua kakitangan dan akan diterima pada 19 Jun.

Jurucakap itu turut menjelaskan, kakitangan dan ahli pusat kecergasan itu tidak diberitahu lebih awal mengenai penamatan operasi di Malaysia kerana pemiutangnya tidak meninggalkan pilihan lain untuk berbuat demikian.

Beliau menambah bahawa True Fitness Malaysia telah menanggung kerugian operasi sejak Mei 2015 susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, kerugian bagi tahun 2015 adalah RM9.15mil dan syarikat itu telah kehilangan RM7.26 juta pada tahun 2016.

Pada 10 Jun, True Fitness dan True Spa Malaysia telah menamatkan operasinya di sini.

Dalam satu kenyataan di laman webnya, pusat itu yang telah beroperasi di Malaysia selama 12 tahun berkata, penamatan operasi itu ekoran prestasi perniagaan yang tidak menguntungkan.

Cubaan Astro AWANI untuk mendapatkan reaksi dari ibu pejabat True Fitness di Singapura sebelum ini gagal.

Pagi ini, lebih 50 bekas pekerja True Fitness Malaysia tampil di Jabatan Tenaga Kerja, Subang Jaya untuk memfailkan aduan selepas itu pusat kecergasan menutup operasinya di sini.

Ini ekoran pekerja-pekerja tersebut kecewa kerana didakwa tidak diberikan notis terlebih dahulu mengenai penutupan tersebut.