Kementerian Pendidikan akan memperuntukkan RM1.5 juta kepada tujuh buah sekolah di daerah Hulu Langat bagi tujuan pelaksanaan kerja pembaikan yang kritikal.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata peruntukan akan disalurkan secara berperingkat mengikut keperluan supaya dapat dimanfaat sebaiknya oleh murid-murid dan sekolah yang terlibat.

"Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi merupakan sekolah yang menerima peruntukan paling tinggi. Saya dimaklumkan oleh pegawai saya yang telah membuat lawatan di sana keadaan di sekolah itu teruk sekali," katanya dalam sidang media selepas Program Walkabout ke sekolah-sekolah di daerah Hulu Langat hari ini.

Pada majlis yang sama tiga buah sekolah iaitu SK Bangi; SK Bandar Seri Putra dan SMK Bandar Seri Putra telah menerima peruntukan masing-masing RM1,020,000, RM130,000 dan RM110,000.

Selain itu, tambah Mahdzir, pihaknya optimis untuk membina sekolah-sekolah baru bagi menampung peningkatan jumlah murid ekoran kadar pembangunan ekonomi dan perumahan yang semakin pesat di kawasan tersebut.

Kata beliau, terdapat perancangan membina sekolah menengah kebangsaan di Bandar Bukit Mahkota dan SK Pelangi, Semenyih.

"Melihat kepada kesesakan yang sedang berlaku dengan lebih 3,000 pelajar di SMK Bandar Seri Putra, kita merasakan terdapat keperluan untuk membina sekolah baru.

"SK Pelangi Semenyih pula akan mula dibina tahun ini dan projek ini dijangka akan menelan belanja RM31.2 juta dan mempunyai 24 unit bilik darjah," katanya.

Sementara itu, Kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) akan diwujudkan di SK Bangi bagi mengatasi kesesakan yang berlaku di SK Bandar Seri Putera.

Kata Mahdzir, ia bagi memastikan murid berkeperluan khas mempunyai peluang pendidikan yang relevan dengan keperluan mereka.