Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa beliau telah membuat pendirian bercanggah susulan skandal seks melibatkan menteri Kabinet sewaktu pentadbiran terdahulu dan ketika ini.

Menerusi muat naik artikel di blognya, chedet.cc yang bertajuk 'Contradiction' (Bercanggah), Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak mahu terlibat dalam politik kotor tersebut.

"Tindakan yang diambil pada 1998 bukan berdasarkan klip video. Ia menyusul kemudian. Mahkamah telah membuat keputusan. Video yang menyusul tidak mempengaruhi mahkamah atau individu lain. Ia tidak mempengaruhi saya.

"Dalam kes terbaharu ini, video pertama kali muncul. Secara jelas, ia merupakan percubaan memburukkan nama individu tersebut untuk menggelapkan masa depannya.

"Sekiranya saya mengambil tindakan yang diharapkan, saya akan menjadi rakan subahat dalam plot ini.

"Saya tidak berniat untuk menjadi instrumen kepada pemain plot. Saya tidak akan menjadi sebahagian daripada politik kotor ini," katanya menerusi artikel tersebut.

Rabu lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak memperincikan dakwaannya terhadap Dr Mahathir yang menurutnya telah mengeluarkan pandangan bercanggah berhubung isu seksual membabitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam ciapan di Twitter, bekas perdana menteri itu menulis: "Tahun 1998: Ini isu moral, bukan isu politik. Tahun 2019: Ini isu politik, bukan isu moral."