Suami yang didakwa mengugut bunuh isteri dan mendera anak mereka, berjaya ditangkap polis di sebuah hotel di Jalan Leila, dekat Bandar Leila Sandakan, awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu, suspek warga Jordan berumur 43 tahun berkenaan dicekup ketika menginap di hotel terbabit.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata, hasil makluman awam, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dihantar ke lokasi berkenaan untuk membuat serbuan.

"Susulan serbuan dilakukan, polis berjaya menahan suspek. Turut ditemui tiga anak suspek – seorang perempuan dan dua lelaki berumur antara empat dan 13 tahun.

"Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Nasri berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga isteri suspek, seorang warga tempatan berumur 43 tahun.

"Mangsa melaporkan pada 18 Mei lalu, dia yang berada di Kota Kinabalu menerima panggilan telefon daripada pekerjanya mengatakan anak lelaki mereka yang berumur lapan tahun telah dipukul suaminya sehingga cedera di muka, leher, punggung dan paha.

"Dua hari kemudian, mangsa pulang ke Lahad Datu membawa anaknya ke klinik untuk mendapatkan rawatan tetapi tidak membuat laporan polis.

"Namun, pada Rabu, suspek tiba-tiba datang ke pejabat mangsa dan memaksa mangsa membuat pasport anak bongsu untuk dibawa ke Jordan.

"Mangsa tidak bersetuju lalu berlaku pertengkaran antara mereka," katanya.

Menurut Nasri, suspek turut mengugut bunuh mangsa dan semua ahli keluarga mangsa sekiranya enggan menyerahkan ketiga-tiga anak mereka.

"Suspek kemudian membawa lari anak-anak mereka dengan menggunakan pacuan empat roda Toyota Vigo dengan nombor pendaftaran SD 5641 L berwarna putih," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.