Kebiasaannya, amalan berzakat dilaksanakan oleh umat Islam serata dunia namun di Malaysia ibadah itu menjadi rutin tahunan bagi Tan Sri Dr Fng Ah Seng.

Pengerusi Yayasan Muhibbah yang juga seorang tokoh pemaju terkemuka itu mengakui terdapat berkat dari hikmah beliau mengerjakan ibadah zakat selama ini.

Katanya, amalan memberi zakat daripada keuntungan perniagaan yang dinasihatkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria itu ternyata memudahkan perjalanan rezekinya malah meningkatkan hasil kekayaan sebagai seorang usahawan tempatan.

Meskipun berstatus bukan Islam, Ah Seng berkata tidak salah rasanya memberikan sedekah hasil kautan dan lebihan keuntungan yang diperolehi oleh syarikatnya, Epic Valley Holding Berhad.

Walau sekecil atau sebesar mana sumbangannya, insan yang cukup merendah diri itu berkata bantuan tersebut ternyata dapat membantu insan yang lebih memerlukan.

"Tidak dinafikan, syarikat pemaju perumahan yang diusahakan semakin melebarkan sayap perniagaan bermula dari sebuah projek perumahan di Selama, Perak kini meliputi semua negeri di utara semenanjung.

"Saya bersyukur dapat mengikut nasihat mentor saya (Tan Sri Harussani) dan melalui cara ini, saya juga dapat meningkatkan kehidupan golongan memerlukan tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit," katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian bantuan Aidilfitri kepada fakir miskin Sumbangan Yayasan Muhibbah Tan Sri Dr Fng Ah Seng kali ke-13 di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini pada petang Jumaat.

Seramai 200 golongan miskin dari Bagan Serai dan Parit Buntar menerima sumbangan RM200 setiap seorang, manakala sepuluh buah masjid pula menerima bantuan RM2,000 setiap sebuah masjid dan sebanyak RM20,000 zakat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk).

Menurut Ah Seng, bagi tahun ini, sejumlah RM1 juta dana bantuan dan zakat perniagaan diperuntukkan pihaknya menerusi Yayasan Muhibbah untuk diagihkan kepada golongan miskin di seluruh negara.

"Saya berbincang dengan mufti untuk memberikan bantuan tersebut kerana sumbangan saya itu ikhlas untuk membantu golongan miskin," katanya.

Selain itu, Ah Seng berkata pihaknya turut melaksanakan pembinaan 80 peratus rumah mampu milik dengan menawarkan skim pinjaman perumahan fleksibel bagi menyahut seruan pihak kerajaan dalam memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik.

"Melalui skim itu pembeli boleh membayar deposit secara ansuran kerana kekangan kewangan yang dihadapi pembeli dalam membuat pinjaman bank,"katanya.

Sementara itu, Mufti Perak turut menegaskan jutawan bukan Islam seperti Ah Seng harus menjadi contoh kerana kesudiannya melaksanakan zakat perniagaan untuk membantu pembangunan asnaf beragama Islam adalah bukti sebenar seorang rakyat Malaysia yang amat bertanggungjawab.

Menurutnya, sumbangan yayasan sebanyak RM100,000 ini membuktikan keperihatinannya dalam menyumbangkan kepada asnaf di negeri ini.

"Yayasan ini membantu golongan tersebut kerana hasil keuntungan dalam melaksanakan projek perumahan di negeri ini.

"Setiap tahun yayasan ini menderma untuk rumah kebajikan, sekolah dan membantu mereka yang memerlukannya, malah kita harus berasa bertuah kerana mempunyai seorang tokoh usahawan berjiwa besar dan sentiasa membantu kebajikan masyarakat negara tanpa mengira agama dan bangsa.

"Kita berharap lebih banyak tokoh-tokoh usahawan sebegini yang dapat dilahirkan demi pembangunan masyarakat majmuk," katanya lagi.