Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyarankan universiti tempatan menumpukan kepada usaha meningkatkan keupayaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

Langkah itu bagi menyelesaikan masalah sebenar industri selain melakukan kajian kes untuk meningkatkan produktiviti dan Pulangan Pelaburan (ROI).

“Universiti kita perlu mula memfokuskan kepada pembangunan keupayaan R&D dalam menyelesaikan masalah industri dan kajian kes untuk meningkatkan produktiviti dan ROI.

“Ini akan meningkatkan lagi nilai tambah kepada cadangan yang dibuat kepada pihak industri,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Industri 4.0: Revolusi Global dalam perniagaan, teknologi dan produktiviti di Segi University Kota Damansara di sini pada Isnin.

Selain itu beliau mencadangkan agar lebih banyak kajian dilakukan untuk mengubah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada perniagaan berteknologi.

“Kita memerlukan lebih banyak teknologi yang disesuaikan untuk memenuhi industri Malaysia dan Industri 4.0 yang boleh menjadi permulaan baru bagi pemaju teknologi tempatan dan penyelidik.

“Sudah tentu, kerajaan lebih bersedia mendengar, memahami dan membantu sektor swasta dalam mewujudkan ekosistem yang betul untuk tujuan ini,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Perdana Menteri berpendapat penelitian semula perlu dilakukan dalam sistem pendidikan negara.

“Terdapat keperluan untuk mengubah modal insan kita, baik tenaga kerja dan pelajar yang ada, dengan kemahiran baru, pemikiran inovatif dan pengetahuan pelbagai disiplin,” kata Tun Dr. Mahathir.

Malah, syarikat swasta disaran untuk membuat pelaburan melalui pemberian kemahiran semula kepada pekerja baharu dan lama mereka ke dalam pasaran kerja.

“Ini adalah untuk mengasah kemahiran pekerja supaya mereka seiring dengan landskap operasi baru. Ia selaras dengan sasaran Dasar Perindustrian Negara yang mahu meningkatkan jumlah pekerja berkemahiran tinggi dalam industri dari 18 peratus hingga 35 peratus, menjelang tahun 2020,” ujar beliau.