Penyertaan Malaysia dalam beberapa penganjuran pesta buku antarabangsa seperti di Bologna, Frankfurt dan London baru-baru ini menunjukkan karya penulis tempatan mempunyai kualiti untuk berada dalam pasaran luar.

Ia diperkukuhkan lagi dengan pemilihan Malaysia buat kali pertama sebagai negara tamu pada Pesta Buku Antarabangsa Indonesia yang akan berlangsung pada 28 September hingga 2 Oktober ini di Pusat Konvensyen Jakarta.

Ketua Pegawai Eksekutif Insitut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Mohamed Khair Ngadiron berkata melihat kepada budaya dan industri penulisan dan penerbitan Indonesia yang umum diketahui besar, ia satu pengiktirafan buat Malaysia.

"Alhamdulillah usaha berterusan ITBM selama lebih kurang lapan tahun menampakkan hasil di mana sekarang kita lebih mudah diterima malah telahpun menandatangani beberapa kontrak dengan penerbitan luar.

"Buku kita juga menerima anugerah di peringkat antarabangsa antaranya buku Sang Kancil oleh Jaafar Taib, buku tulisan Rahimidin Zahari yang mendapat anugerah Samsung di Singapura, juga dalam proses penerbitan di Indonesia dan Turki," katanya.

Mohamed Khair melihat penyertaan serta pengiktirafan itu bukan sekadar usaha membawa karya tempatan ke pasaran luar, tetapi secara tidak langsung menjadi bahan eksport untuk mempromosi negara kepada dunia.

"Memang ada peminat di peringkat antarabangsa yang mahu melihat sisi lain Malaysia.

"Selalunya kita memperkenalkan negara melalui pelancongan, tetapi aspek intelektual dan budaya juga perlu diketengahkan," tegasnya.

Mengambil contoh Indonesia yang melaksanakan cara tersebut dengan jayanya, Mohamed Khair menganggap peranan kerajaan amat penting dalam kerancakan budaya penulisan dan penerbitan di negara ini.

Kesungguhan pemerintah Indonesia memperuntukkan bajet khas bagi industri buku Indonesia memberikan rangsangan yang baik kepada program pengantarabangsaan negara tersebut, dan berharap perkara sama berlaku di Malaysia dalam usaha mengangkat hasil intelektual bangsa.

Pavilion Malaysia di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia akan dibangunkan ITBM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kota Buku.

Kata Mohemad Khair, ini merupakan peluang terbaik untuk Malaysia memperkukuh serta memperluas rangkaian kenalan bagi meneroka pasaran negara jiran dengan melihat industri yang besar, budaya buku yang hebat dibentuk 300 juta penduduknya serta dibantu bahasa dan budaya yang sama.

Pada masa sama, dalam terus memperkukuh industri penulisan dan penerbitan tempatan, Mohamed Khair berharap penerbit tempatan lebih serius dan menggandakan usaha.

"Saya percaya dengan usaha keras dan sedikit kebijaksanaan, kita akan berjaya," ujarnya.