Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) dan Pengamal Juruukur Bangunan Berdaftar (RBS) mencadangkan kerajaan mewajibkan pemeriksaan keselamatan berkala bagi bangunan berkepadatan tinggi kepada setiap dua tahun sekali berbanding amalan sekarang iaitu sekali pada setiap 10 tahun.

Naib Presiden RISM, Sr Mohd Amin Mohd Din berkata peruntukan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) itu perlu dikemas kini semula untuk memenuhi keperluan semasa selain menjamin keselamatan premis.

"Tempoh pemeriksaan wajib sekali setiap 10 tahun adalah terlalu lama khususnya bagi premis-premis berkepadatan tinggi seperti sekolah dan rumah-rumah kebajikan," katanya kepada wartawan di pejabat RISM di sini hari ini.

Mohd Amin, yang juga Anggota Exco RBS, berkata demikian sebagai mengulas arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu kedua-dua badan itu menilai kembali status fizikal semua bangunan di negara ini, ekoran kebakaran Pusat Tahfiz Datuk Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat di sini bulan lepas yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru.

Menyambut baik langkah itu, beliau berkata pemeriksaan keselamatan berkala harus dijadikan satu kewajipan oleh pemilik bangunan memandangkan aspek tersebut sering dipandang ringan oleh masyarakat.

Mohd Amin berkata pemeriksaan dan penilaian juruukur bangunan untuk sesebuah premis bangunan bukan hanya daripada sudut keselamatan sahaja, tetapi juga meliputi keseluruhan audit bangunan termasuk aspek fungsi, keadaan kesihatan dan keselamatan semasa.

Beliau berkata pemeriksaan keselamatan juga perlu dibuat setiap kali pertukaran hak milik, perubahan fungsi premis dan pengubahsuaian bangunan dilakukan.

"Ia juga merangkumi penilaian reka bentuk, elemen, komponen, peralatan dan kemudahan fasiliti yang mengambil kira kebajikan, suasana sejahtera, sihat dan selamat penghuni dan pengguna premis berkenaan.

"Penemuan dan hasil pemeriksaan daripada siasatan juruukur bangunan membolehkan urutan pemantauan keselamatan susulan dilakukan," katanya.

Mengenai piawaian keselamatan premis tahfiz, Mohd Amin berkata RISM akan mengemukakan kertas cadangan kepada Jawatankuasa Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz mengenai pelaksanaan pemeriksaan dan piawaian keselamatan yang akan dilakukan.-- BERNAMA