Kerajaan Malaysia telah membelanjakan kira-kira RM27.6 juta dalam usaha mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dan angka ini hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah yang telah dibelanjakan oleh kerajaan Australia.

Hampir AU$90 juta (RM269.34 juta) diperuntukkan kerajaan Australia dalam misi mencari MH370 dimana AU$25 juta (RM74.9 juta) adalah untuk pasukan pertahanan manakala AU$60 juta (RM 179.76 juta) pula diperuntukkan bagi misi pencarian dalam laut.

Dalam satu laporan oleh portal berita The Guardian, Ketua Perbendaharaan Australia, Joe Hockey berkata kerajaan Australia tidak akan mengelak daripada berbelanja untuk mencari pesawat malang itu.

“Difahamkan pesawat tersebut terhempas di kawasan perairan yang menjadi tanggungjawab kami dan tanggungjawab ini datang dengan kos yang tinggi dan kami tidak akan mengelak.

Kami terima tanggungjawab itu dan akan mengeluarkan perbelanjaan. Kami bukan negara yang merayu meminta duit untuk menyelesaikan tugas sendiri,” katanya.

Peruntukan sebanyak AU$89.9 juta (RM269.44 juta) itu dikatakan adalah kos termahal dalam sejarah penerbangan dunia dan amaun itu dijangka terus meningkat.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri pada sidang media di Hotel Royale Chulan pada Isnin berkata, Malaysia akan berkongsi perbelanjaan sama rata bersama Australia bagi misi pencarian fasa seterusnya.

“Setakat ini tiada angka tepat untuk peruntukkan ini lagi tetapi ia akan dikongsi 50-50 antara Malaysia dan Australia.

Dalam sesi soal jawab pada sidang Parlimen pada Isnin, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan bahawa kerajaan Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM27.6 juta bagi misi pencarian ini.

“Kos yang terpaksa ditanggung kerajaan Malaysia sebenarnya adalah sedikit jika hendak dibandingkan dengan aset-aset yang diberikan oleh negara lain.

Saya amat berbangga kerana ramai rakan negara lain membantu serta menanggung perbelanjaan pencarian sendiri tanpa membuat sebarang tuntutan kepada Malaysia,” kata Hishammuddin.

Lebih tiga bulan sejak pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur yang membawa seramai 239 penumpang dan anak kapal.

Boeing 777 itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi namun pencarian pesawat tersebut tidak menemui sebarang petunjuk hingga kini.